Tuesday, May 12, 2009

ISU-ISU DALAM UNDANG-UNDANG KAWALAN DAN SEKATAN AGAMA BUKAN ISLAM KEPADA ORANG ISLAM

A. LATAR BELAKANG
Kedudukan Agama Islam dan Keperluan Untuk Memelihara dan Mempertahankannya
1. Sejarah membuktikan bahawa Islam telah bertapak kukuh di negara ini seawal abad ke-9 di Negeri Kedah dan abad ke-13 di Terengganu dan kedudukan ini telah berterusan sehingga ke hari ini[1]. Semasa menduduki Tanah Melayu, Inggeris turut akur dan menerima hakikat bahawa agama Islam dan orang Melayu ialah tonggak utama Tanah Melayu manakala Raja-Raja Melayu pula merupakan penguasa mutlak dalam semua perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan orang Melayu. Fakta ini diterjemahkan oleh Inggeris semasa menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang pertama, iaitu apabila Inggeris menerusi Working Party telah menerima cadangan Parti Perikatan dan Raja-Raja Melayu untuk memasukkan peruntukan mengenai kedudukan Islam di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan[2].
2. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan. Ia adalah hasil dari persetujuan pihak-pihak yang berperanan semasa rundingan untuk mencapai kemerdekaan dahulu. Pernyataan tegas ini bukanlah semata-mata satu kebetulan tetapi ia adalah hasil daripada persetujuan menerusi kontrak sosial yang telah dicapai oleh semua bangsa dan etnik yang menghuni Tanah Melayu untuk menerima kemasukan peruntukan itu dalam Perlembagaan Persekutuan. Walaupun demikian, ketetapan ini tidak pernah menafikan hak agama-agama lain untuk bebas diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
3. Sebagai agama bagi Persekutuan, sudah pasti Islam mempunyai kedudukan yang istimewa dan berlainan daripada kedudukan agama-agama lain.[3] Agama Islam merupakan agama negara dan bukan sekadar agama bagi upacara-upacara rasmi seperti tanggapan sesetengah pihak. Ketinggian Islam ini terserlah dalam sumpah jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan dalam Jadual Keempat [Perkara 37] Perlembagaan Persekutuan ― untuk memelihara pada setiap masa Agama Islam.
4. Justeru, usaha untuk melindungi dan mempertahankan Agama Islam menjadi suatu keperluan yang tidak boleh diketepikan kerana kedudukannya yang istimewa itu telah termaktub dalam Perlembagaan. Malah, Perlembagaan Persekutuan itu sendiri telah memberikan jaminan perlindungan terhadap kesucian agama ini melalui peruntukan-peruntukannya yang tertentu. Salah satunya ialah menerusi Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
5. Kerajaan Persekutuan mempunyai peranan dan tanggungjawab yang penting untuk terus mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua agama Islam dalam apa jua keadaan sekalipun termasuklah bagi menghalang usaha untuk menyebarkan dan mengembangkan agama lain di kalangan umat Islam/Melayu di negara ini. Perkara ini telah pun dipersetujui oleh masyarakat bukan Islam semasa rundingan kemerdekaan yang diadakan sebagai balasan kepada hak kewarganegaraan yang diberikan kepada orang bukan Islam/Melayu melalui prinsip jos soli dan hak kebebasan untuk mengamalkan agama mereka dengan aman dan damai. Orang bukan Islam mereka tidak berhak untuk menyebarkan dan mengembangkan agama mereka kepada orang Islam di negara ini seperti yang termaktub di bawah Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan itu.

Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan Hubungannya Dengan Undang-Undang Kawalan dan Sekatan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam
6. Sungguhpun Agama Islam telah dimartabatkan sebagai agama bagi Persekutuan, tiap-tiap orang di Malaysia berhak menganuti dan mengamalkan agamanya sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan peruntukan ini, adalah jelas bahawa kebebasan beragama merupakan hak asasi yang dijamin dan dilindungi di negara ini. Walau bagaimanapun, hendaklah ditegaskan bahawa kebebasan beragama seperti yang diperuntukkan di bawah peruntukan tersebut tidaklah boleh ditafsirkan dengan begitu luas[4] kerana ia tertakluk kepada pembatasannya seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 11(3)[5], 11(4)[6] dan 11(5)[7] Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang berkuatkuasa. Pembatasan yang diperuntukkan ini adalah wajar kerana ia merupakan kesan penting yang menyahut hakikat asal bahawa agama Islam adalah agama bagi Persekutuan.
7. Menurut Prof. Andrew Harding[8], di samping melindungi kebebasan beragama, peruntukan dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan ini membezakan antara mengamalkan dan mengembangkan agama. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 11(1) memberi kebebasan kepada setiap individu untuk mengamalkan agama anutannya sementara Perkara 11(4) pula memperuntukkan sekatan ke atas kebebasan beragama dari segi pengembangannya. Ini menampakkan kebebasan beragama seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak bersifat mutlak. Selain dari Perkara 3(1), Perkara 11 (4), Perkara 12 (2)[9], Perkara 121(1A) dan butiran I, Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan yang juga memberi keutamaan bagi agama Islam berbanding dengan agama-agama lain. Oleh yang demikian, Perkara 11(4) pada hakikatnya adalah bagi memelihara kedudukan Islam serta menjamin ketenteraman awam dalam konteks Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang agama.
8. Menurut Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Negeri atau Persekutuan bagi Wilayah Persekutuan boleh digubal bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam. Undang-undang yang digubal ini amat penting bagi memastikan kesucian agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan dipertahankan sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan juga bagi memastikan akidah umat Islam sentiasa terpelihara. Penggubalan undang-undang ini di Negeri-Negeri juga adalah selaras dengan Perlembagaan Negeri-Negeri yang menetapkan bahawa agama Islam sebagai agama Negeri dan Sultan/Raja/Yang di-Pertuan Agong bagi setiap Negeri yang menyertai Persekutuan Tanah Melayu merupakan ketua agama Islam bagi Negeri masing-masing.
B. UNDANG-UNDANG KAWALAN DAN SEKATAN AGAMA BUKAN ISLAM KEPADA ORANG ISLAM
Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam Negeri-Negeri (Enakmen Kawalan)
9. Sepuluh buah Negeri telah menggubal Enakmen Kawalan. Walaubagaimanapun, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum mempunyai Enakmen tersebut. Sepuluh buah Negeri tersebut ialah seperti yang berikut:


BIL.
NEGERI
ENAKMEN
TARIKH KUATKUASA
PEGAWAI
DIBERIKUASA

1.

Terengganu

Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Ugama Bukan Islam 1980

Berkuatkuasa pada
1 April 1986

1. Pegawai-Pegawai awam yang dilantik sebagai Pegawai Penguatkuasa Syariah di bawah seksyen 104 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986
2. Ketua-Ketua Polis Balai atau pegawai-pegawai Polis yang berpangkat sarjan dan ke atas dalam Negeri Terengganu Darul Iman.

2.

Kelantan

Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Ugama Bukan Islam 1981


Berkuatkuasa pada
1 Januari 1987


Tiada Maklumat

3.

Selangor

Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988


Berkuatkuasa pada
8 Julai 1988

1. Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor
2. Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor
3. Penolong Pengarah Penyelidikan Jabatan Agam Islam Selangor
4. Penasihat Undang-Undang Syarak Jabatan Agama Islam Selangor
5. Semua Pegawai Agama Islam Daerah Negeri Selangor
6. Semua Pegawai Polis berpangkat Inspektor dan ke atas


4.

Perak

Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1988

Belum Ada Tarikh
Kuatkuasa

· Perlantikan belum diwartakan.
· Kuasa mendakwa diberikan kepada pegawai diberikuasa atau pegawai polis berpangkat tidak rendah daripada Inspektor


5.

Melaka

Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam 1988

Berkuatkuasa pada
1 Januari 1990

Tiada Maklumat

6.

Kedah

Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988

Berkuatkuasa pada
1 Oktober 1988


Perlantikan belum diwartakan
(Dalam Proses)

7.

Pahang

Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1989

Berkuatkuasa pada
1 Mac 1990

· Perlantikan belum diwartakan.
· Kuasa mendakwa diberikan kepada pegawai diberikuasa atau pegawai polis berpangkat tidak rendah daripada Inspektor


8.

Negeri Sembilan

Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam) 1991

Berkuatkuasa pada
5 April 2007

· Perlantikan belum diwartakan.
· Kuasa mendakwa diberikan kepada pegawai diberikuasa atau pegawai polis berpangkat tidak rendah daripada Inspektor


9.

Johor

Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991

Berkuatkuasa pada
23 April 1992

· Perlantikan belum diwartakan.
· Kuasa mendakwa diberikan kepada pegawai diberikuasa atau pegawai polis berpangkat tidak rendah daripada Inspektor


10.

Perlis

Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Iktikad dan Kepercayaan Agama Yang Bertentangan Dengan Agama Islam (Sunnah Wal Jama’ah) 2002

Berkuatkuasa
1 Januari 2007

Perlantikan belum diwartakan


10. Draf undang-undang yang berhubungan dengan kawalan dan sekatan pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam bagi Wilayah Persekutuan pula sedang dalam peringkat akhir penggubalannya.

Kesalahan-Kesalahan di bawah Undang-Undang Kawalan dan Sekatan Agama Bukan Islam
11. Enakmen Kawalan di Negeri-Negeri secara umumnya memperuntukkan enam jenis kesalahan yang berkaitan dengan pengembangan agama bukan Islam. Sebagai contoh, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 memperuntukkan kesalahan-kesalahan seperti yang berikut:
(a) Kesalahan memujuk, mempengaruhi, atau menghasut orang beragama Islam supaya mengubah keimanan[10].
Ø Kesalahan ini merujuk kepada apa-apa aktiviti yang boleh mempengaruhi atau menghasut atau memujuk orang Islam supaya cenderung atau mengubah kepercayaan kepada agama yang bertentangan dengan agama Islam atau meninggalkan agama Islam. Apa-apa aktiviti ini boleh ditafsirkan secara umum, iaitu sama ada secara lisan atau bertulis dengan tujuan untuk menyebarkan ajaran agama bukan Islam.
(b) Kesalahan mendedahkan orang belum dewasa beragama Islam kepada pengaruh agama bukan Islam[11].
Ø Kesalahan ini merangkumi kesalahan menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan atau membiarkan seorang belum dewasa yang beragama Islam untuk menerima ajaran atau mengambil bahagian dalam apa-apa istiadat agama bukan Islam. Orang belum dewasa seperti yang ditafsirkan dalam Enakmen ini bermaksud seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun[12]. Peruntukan kesalahan ini dikhususkan kepada orang belum dewasa kerana pada dasarnya mereka golongan yang mudah untuk dipengaruhi dan terdedah dengan gejala sosial yang ada kalanya menyimpang dari ajaran Islam sebenar. Sebagai contoh, gejala black metal yang berleluasa di kalangan remaja telah diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan Malaysia pada 23 Januari 2006 sebagai ajaran sesat dan boleh menjejaskan akidah mereka yang mengamalkannya.

(c) Kesalahan mendekati orang Islam untuk mendedahkannya kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai agama bukan Islam[13].
Ø Kesalahan ini adalah seperti mendekati orang Islam dengan mengunjungi atau mengatur atau berusaha mengadakan perjumpaan dengan menggunakan apa-apa cara bagi maksud mendedahkan orang beragama Islam kepada suatu agama bukan Islam. Apa-apa cara dan usaha yang dirancang untuk menyebarkan ajaran agama bukan Islam, melalui perjumpaan dan perbincangan bersama dengan orang Islam adalah menjadi kesalahan di bawah Enakmen ini.
(d) Kesalahan menghantar atau menyerahkan terbitan-terbitan mengenai apa-apa agama bukan Islam kepada orang beragama Islam[14].
Ø Kesalahan ini merangkumi kesalahan menghantar atau menyerahkan apa-apa terbitan atau bahan iklan mengenai agama bukan Islam yang tidak diminta oleh penerima yang beragama Islam, sama ada dari dalam negeri atau dari luar negeri. Menurut tafsiran di bawah seksyen 2, “terbitan” bermaksud apa-apa buku, majalah, pamphlet, risalah, bahan rakaman bunyi, filem wayang gambar, dan apa-apa bahan lain untuk dibaca, dilihat atau didengar walau bagaimana cara pun dihasilkan. Sesuatu terbitan tersebut dianggap sebagai terbitan mengenai agama bukan Islam jika ia merupakan suatu buku suci atau buku asas atau teks penting agama tersebut ataupun yang mempunyai inti pati ajaran agama bukan Islam.
(e) Kesalahan membahagikan di tempat awam terbitan mengenai agama bukan Islam kepada orang beragama Islam[15].
Ø Kesalahan ini merujuk kepada kesalahan membahagikan di suatu tempat awam apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, dengan sengaja menyerahkan salinan atau salinan-salinan terbitan itu kepada orang Islam.
(f) Kesalahan berhubung dengan penggunaan perkataan-perkataan dan perbahasan tertentu yang bersumber Islam[16].
Ø Perkataan-perkataan dan perbahasan tertentu yang tidak boleh dikaitkan dengan agama bukan Islam dijelaskan di dalam Jadual Enakmen tersebut dan bilangan perkataan yang disebut dalam Jadual Enakmen adalah berbeza-beza antara Negeri-Negeri. Pada dasarnya, kesalahan ini dapat dilihat dengan jelas dalam kes-kes yang berhubungan dengan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan agama bukan Islam yang berbangkit daripada permohonan untuk membaharui permit penerbitan akhbar Herald-The Catholic Weekly dan juga tindakan undang-undang yang diambil oleh Sidang Injil Borneo terhadap Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) berhubung dengan rampasan penerbitan buku-buku agama Kristian yang mengandungi perkataan Allah oleh KKDN.
12. Berdasarkan peruntukan-peruntukan mengenai kesalahan dan hukuman yang termaktub dalam Enakmen tersebut di Negeri-Negeri, jelaslah bahawa Agama Islam pada hakikatnya telah diberikan perlindungan yang sewajarnya dari aspek perundangan dalam hal pengawalan dan sekatan pengembangan iktikad dan kepercayaan-kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang-orang yang menganuti agama Islam. Namun begitu, pengwujudan undang-undang sahaja adalah tidak memadai sekiranya ia tidak dikuatkuasakan sepenuhnya secara efektif.
C. ISU-ISU
(i) Tiada Penguatkuasaan Undang-Undang
13. Enakmen Kawalan memperuntukkan, antara lain, bahawa semua kesalahan dan kes di bawah Enakmen ini hendaklah disifatkan sebagai kesalahan-kesalahan boleh tangkap dan kes-kes boleh tangkap bagi maksud Kanun Prosedur Jenayah.[17] Dalam konteks ini, pegawai bertauliah boleh menyiasat apa-apa kesalahan di bawah Enakmen ini dan boleh menangkap tanpa waran mana-mana orang yang disyaki telah melakukan mana-mana kesalahan itu.[18] Sehubungan dengan ini, Raja dalam Mesyuarat boleh mentauliahkan mana-mana pegawai awam supaya menjalankan kuasa-kuasa pegawai bertauliah di bawah Enakmen ini.[19]
14. Sungguhpun prasarana undang-undang ini telahpun sedia wujud dan Enakmen Kawalan telahpun diwartakan di sepuluh buah Negeri di Malaysia, namun didapati tiada tindakan dan penguatkuasaan yang dilakukan. Setakat ini, terdapat satu kes sahaja yang telah dikenakan tindakan pendakwaan[20]. Dalam kes tersebut, tertuduh yang merupakan seorang lelaki India telah dituduh di bawah subseksyen 4(2)(i) Enakmen Kawalan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam Negeri Pahang 1989 dan telah didapati bersalah dan dihukum dengan hukuman denda RM1,500.00 dan penjara 20 hari. Situasi ini seolah-olahnya menggambarkan bahawa tiada usaha pihak yang bertanggungjawab untuk menguatkuasakan Enakmen ini.
15. Kegagalan untuk menguatkuasakan undang-undang ini timbul kerana kemungkinan terdapat kekeliruan dalam beberapa perkara seperti yang berikut:


(a) Pihak Yang Bertanggungjawab Untuk Menguatkuasakan Undang-Undang
16. Terdapat tanggapan daripada sesetengah pihak bahawa tindakan untuk menguatkuasakan undang-undang ini hanya diletakkan di atas tanggungjawab pihak Jabatan Agama Islam Negeri semata-mata, sedangkan penguatkuasaan undang-undang ini sebenarnya turut melibatkan pihak berkuasa yang lain seperti Polis Diraja Malaysia.
17. Kekeliruan ini timbul akibat dari peruntukan undang-undang yang tidak seragam antara negeri-negeri seperti yang berikut:
· Hanya empat buah Negeri iaitu Negeri Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor memperuntukkan penglibatan polis secara langsung untuk menguatkuasakan Enakmen tersebut[21]. Selain pihak polis, Negeri-negeri ini juga memberi kuasa kepada pegawai diberikuasa.
· Negeri Terengganu, Kelantan, Selangor, Melaka, Kedah dan Perlis pula memberi kuasa kepada pegawai bertauliah.
Pegawai bertauliah/diberikuasa ditakrifkan sebagai pegawai awam yang dilantik untuk menjalankan kuasa-kuasa pegawai yang diberikuasa di bawah undang-undang ini, dan termasuklah seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor.
18. Bagi Negeri-negeri yang memperuntukkan kuasa kepada pegawai bertauliah/pegawai yang diberikuasa, hanya beberapa buah Negeri sahaja yang telah melantik dan mewartakan pegawai yang berkenaan manakala Negeri-negeri lain masih belum berbuat demikian seperti Perak, Pahang, Perlis, Kedah dan Negeri Sembilan. Sebagai contoh, Negeri-Negeri yang telah melantik dan mewartakan pegawai bertauliah/diberikuasa adalah Negeri Selangor dan Terengganu. Bagi Negeri Selangor, Warta Kerajaan Negeri Selangor No. 1407 bertarikh 9 Disember 1999 menyatakan antara Pegawai-Pegawai Awam di Selangor yang ditauliahkan adalah seperti berikut:
1. Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor
2. Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor
3. Penolong Pengarah Penyelidikan Jabatan Agam Islam Selangor
4. Penasihat Undang-Undang Syarak Jabatan Agama Islam Selangor
5. Semua Pegawai Agama Islam Daerah Negeri Selangor
6. Semua Pegawai Polis berpangkat Inspektor dan ke atas
Manakala, bagi Negeri Terengganu, Warta Kerajaan Negeri No. 192 bertarikh 15 Februari 1988 telah mewartakan perlantikan Pegawai-Pegawai Penguatkuasa di bawah Enakmen ini adalah seperti berikut:
3. Pegawai-Pegawai awam yang dilantik sebagai Pegawai Penguatkuasa Syariah di bawah seksyen 104 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986
4. Ketua-Ketua Polis Balai atau pegawai-pegawai Polis yang berpangkat sarjan dan ke atas dalam Negeri Terengganu Darul Iman.
19. Menurut Enakmen Kawalan tersebut, kuasa yang diberi kepada pegawai bertauliah/pegawai diberikuasa termasuklah seperti yang berikut:
· Kuasa untuk menyiasat apa-apa kesalahan berkenaan dengan enakmen[22];
· Kuasa untuk menangkap tanpa waran orang-orang yang disyaki[23];
· Kuasa untuk memerintah mana-mana orang yang tahu tentang hal-hal berkaitan kes untuk hadir di hadapannya melalui perintah secara bertulis[24];
· Kuasa melaporkan keengganan mana-mana orang untuk hadir di hadapannya kepada Majistret bagi pengeluaran waran tangkap[25];
· Kuasa memeriksa secara lisan mana-mana orang yang dikehendaki hadir di hadapannya[26]; dan
· Kuasa untuk hadir di Mahkamah dan mengendalikan pendakwaan berkaitan mana-mana kesalahan di bawah Enakmen[27].

20. Pihak polis mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang ini memandangkan kesalahan-kesalahan yang menyentuh pengembangan agama bukan Islam ini merupakan kesalahan di bawah undang-undang sivil yang melanggari prinsip perlembagaan Negara dan bukanlah kesalahan jenayah Syariah. Di samping itu, pihak polis juga mempunyai pengalaman, kepakaran dan kemahiran dalam prosedur jenayah sivil kerana kesalahan-kesalahan tersebut boleh melibatkan kesalahan serius yang menyentuh perhubungan antara kaum, kedudukan dan sensitiviti agama Islam serta kepentingan awam. Ini adalah selaras dengan subseksyen 3 (3) Akta Polis [Akta 344] yang menyatakan bahawa pasukan polis bertanggungjawab untuk memberi khidmat dalam hal ehwal keamanan, keselamatan dan ketenteraman negara. Subseksyen 3 (3) Akta Polis 1967 [Akta 344] menyatakan seperti berikut:
“Tertakluk kepada akta ini, Pasukan hendaklah diguna khidmat di dalam dan di seluruh Malaysia (termasuklah perairan wilayahnya) bagi memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekalkan keamanan dan keselamatan Malaysia, mencegah dan mengesan jenayah, menangkap dan mendakwa pesalah-pesalah dan nmengumpul risikan keselamatan.”
21. Selain itu, Enakmen Kawalan ini juga secara jelas memperuntukkan kesalahan dan kes di bawah Enakmen ini disifatkan sebagai kesalahan-kesalahan boleh tangkap bagi maksud Kanun Prosedur Jenayah[28]. Kesalahan boleh tangkap bermaksud kes yang melibatkan polis boleh menangkap tanpa waran.[29] Kanun Prosedur Jenayah yang terpakai bagi penguatkuasaan Enakmen ini menunjukkan penglibatan pihak polis secara langsung melalui peruntukan yang sama seperti kesalahan jenayah secara umum[30].
(b) Sensitiviti agama dan perhubungan antara kaum
22. Kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan di bawah Enakmen Kawalan menyentuh sensitiviti agama lain yang dianuti dan diamalkan di negara ini. Sensiviti antara agama ini menjadi salah satu faktor kepada tiadanya penguatkuasaan. Sekiranya tindakan penguatkuasaan dijalankan oleh pegawai penguatkuasa agama, ia boleh disalah tafsir dan menimbulkan perbalahan antara kaum dan agama.
23. Oleh yang demikian, proses siasatan dan penguatkuasaan di bawah Enakmen ini perlu dijalankan dengan berhati-hati supaya tidak menimbulkan kegelisahan atau kesangsian di kalangan penganut agama-agama lain.
(c) Tafsiran “Agama Bukan Islam” Dalam Enakmen Kawalan
24. Tafsiran dan skop yang dimaksudkan dengan agama bukan Islam menurut Enakmen ini perlu difahami. Ia tidak terhad kepada fahaman agama Kristian, Hindu, Buddha, Sikh, Yahudi atau apa-apa bentuk kepercayaan yang berasal daripada agama-agama tersebut[31] tetapi termasuklah apa-apa pegangan, ideologi, falsafah, amalan yang bersifat pemujaan kuasa spiritual atau kuasa luar biasa atau kepercayaan yang membawa kepada pencapaian kesedaran kerohanian yang tidak diiktiraf oleh Islam. Tafsiran ini merangkumi ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar, seperti ajaran sesat.
(ii) Isu Yang Berbangkit Daripada Jadual Perkataan dan Perbahasaan Yang Tidak Boleh Digunakan Oleh Orang Bukan Islam Dalam Enakmen Negeri-Negeri

25. Perkataan dan perbahasaan yang tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam terdapat di dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan di Negeri-negeri. Antara perkataan-perkataan yang dilarang untuk digunakan oleh orang bukan Islam yang termaktub dalam Enakmen-enakmen Kawalan dan Sekatan tersebut termasuklah perkataan ’Allah’, ’Firman Allah’, ’Ulama’, ’Hadith’, ’Ibadah’, ’Kaabah’, ’Kadi’, ’Ilahi’, ’Mubaligh’, ’Syariah’, ’Kiblat’, ’Haji’, ’Mufti’, ’Rasul’, ’Iman’, ’Dakwah’, ’Solat’, ’Khalifah’, ’Wali’, ’Fatwa’ dan ’Nabi’. Walaubagaimana pun penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh orang bukan Islam telah menjadi isu utama pada masa ini .
26. Terdapat ketidakseragaman pada perkataan dan perbahasaan yang dilarang untuk digunakan oleh orang bukan Islam seperti yang terkandung dalam Jadual kepada Enakmen-enakmen Kawalan di sepuluh buah negeri berkenaan. Antara contoh ketidakseragaman yang wujud dalam Jadual-jadual negeri tersebut adalah seperti yang berikut─
(i) Enakmen bagi negeri Kedah tidak memperuntukkan perbahasaan melainkan perkataan-perkataan yang dilarang sahaja;
(ii) terdapat Enakmen negeri berkenaan yang tidak mempunyai Jadual mengenai perkataan atau perbahasaan iaitu Negeri Johor;
(iii) Beberapa perkataan yang terkandung dalam Jadual kepada Enakmen sesebuah Negeri tidak terdapat dalam kebanyakan Jadual kepada Enakmen-enakmen Negeri yang lain seperti perkataan ‘Injil’, ‘Imam’, ‘Wahyu’, ‘Masjid’, ‘Khutbah’, ‘Tabligh’, ‘Akhirat’, ‘Azan’, ‘Karamah’, ‘Hauliak’, ‘Shahadah’, ‘Baitullah’, ‘Musolla’, ‘Hajah’, ‘Al-Quran’ dan ‘As-Sunnah’.
27. Ketidakseragaman pada perkataan dan perbahasaan di Negeri-Negeri boleh menimbulkan perbalahan di kalangan orang bukan Islam pada masa hadapan kerana wujud perbezaan dalam larangan penggunaan perkataan-perkataan dan perbahasaan antara Negeri-Negeri.
28. Pada 16 Mei 1986, terdapat Arahan Jemaah Menteri mengenai empat perkataan yang tidak boleh digunakan oleh agama lain selain Islam iaitu perkataan Allah, Kaabah, Baitullah dan Solat yang telah diwartakan. Ini berbeza dengan undang-undang di peringkat negeri yang memperuntukkan lebih daripada empat perkataan yang tidak boleh digunakan oleh agama lain selain Islam. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai undang-undang berhubung dengan pengawalan dan pengembangan agama pula seperti Wilayah-Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, fatwa berkaitan penggunaan perkataan Allah dan lain-lain perkataan seumpamanya yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri, sekiranya ada, boleh dirujuk sebagai undang-undang yang berkuatkuasa selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
29. Antara kesalahan penggunaan perkataan yang telah menjadi isu perundangan penting di negara ini adalah penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama bukan Islam. Ia telah berbangkit dalam dua kes yang berbeza. Kes yang pertama telah dibangkitkan dalam permohonan untuk memperbaharui permit penerbitan akhbar Herald-The Catholic Weekly. Manakala kes yang kedua telah dibangkitkan dalam suatu tindakan undang-undang yang diambil oleh Sidang Injil Borneo terhadap Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), iaitu berkaitan rampasan penerbitan buku-buku agama Kristian yang mengandungi perkataan Allah oleh KKDN.
(iii) Keberkesanan Hukuman bagi Kesalahan-kesalahan di dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan dan Bidangkuasa Mahkamah
30. Berdasarkan peruntukan Enakmen Kawalan sedia ada didapati peruntukan hukuman bagi kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen ini terlalu ringan. Adalah dikhuatiri hukuman yang ringan tersebut tidak dapat membendung aktiviti pengembangan agama bukan Islam yang mempunyai dana dan sumber yang besar.
31. Sebagai contoh, dalam satu-satunya kes yang dilaporkan menggunapakai Enakmen Kawalan dan Sekatan[32], hukuman yang diberikan oleh Mahkamah Majistret Temerloh adalah denda RM1,500.00 dan penjara 20 hari.
32. Oleh yang demikian, hukuman bagi kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen ini sepatutnya dipertingkatkan kepada hukuman yang lebih berat, dan seterusnya meningkatkan bidangkuasa mahkamah yang menentukan kesalahan tersebut di bawah Mahkamah Sesyen, seperti yang dicadangkan di dalam Rang Undang-Undang Pengembangan Agama Bukan Islam (Kawalan dan Sekatan) (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2008.
(iv) Sama ada Terdapat Keperluan Mendapatkan Sanksi atau Keizinan Daripada Pendakwa Raya
33. Oleh kerana kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen ini melibatkan kepentingan awam dan sensitiviti antara agama dan kaum, sanksi atau keizinan daripada Pendakwa Raya adalah diperlukan sebelum pendakwaan dijalankan terhadap orang yang disyaki melakukan mana-mana kesalahan di bawah undang-undang ini.
34. Oleh yang demikian, kertas siasatan polis mengenai kesalahan-kesalahan yang disyaki telah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu perlu mendapat semakan dan penelitian yang sewajarnya daripada Pendakwa Raya sebelum sanksi atau keizinan diberikan bagi menjamin tindakan pendakwaan yang sah, teratur dan mengikut peruntukan undang-undang.











SYOR DAN PENUTUP
35. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri perlu memantau secara lebih dekat tahap-tahap penguatkuasaan Enakmen ini dan bekerjasama dengan pihak polis, Jabatan Agama Islam Negeri serta pegawai diberikuasa/bertauliah bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan Enakmen ini.
36. Bagi menjamin keberkesanan penguatkuasaan Enakmen Kawalan ini, kesemua pihak penguatkuasa yang terdiri daripada pegawai diberikuasa/bertauliah termasuk pihak polis perlu diberi penerangan yang jelas berkenaan dengan undang-undang ini. Sejajar dengan itu, penglibatan pegawai polis perlu dimaksimumkan kerana kepakaran dan pengalaman pegawai polis dalam prosedur jenayah sivil sangat penting untuk dimanfaatkan dalam menguatkuasakan undang-undang ini.
37. Semua agensi berkaitan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri perlu bekerjasama untuk memastikan keseragaman prasarana undang-undang kawalan dan sekatan pengembangan agama bukan Islam dan keberkesanan penguatkuasaannya.
38. Hukuman bagi kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen Kawalan ini perlu ditingkatkan untuk memastikan kesalahan-kesalahan tersebut tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh mana-mana individu atau institusi yang tidak bertanggungjawab
39. Pihak JAKIM hendaklah mewujudkan suatu garis panduan penguatkuasaan bersepadu di antara Negeri-Negeri untuk memudahkan penguatkuasaan Enakmen ini. Pegawai-pegawai yang dilantik di bawah Enakmen ini hendaklah diberi latihan dan kemahiran yang secukupnya.
40. Penerangan dan penjelasan kepada seluruh masyarakat mengenai Undang-undang ini amatlah perlu supaya semua pihak tahu dan faham mengenai kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan dalam Undang-undang ini dan dengan sendirinya akan menghindarkan diri dari melakukannya. Justeru, kewujudan undang-undang ini perlu dimaklum dan disebar luas kepada orang ramai.

[1] Penemuan tapak masjid di kaki Gunung Jerai dan Batu Bersurat di Kuala Berang, Terengganu.
[2] Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim, Islam and the Constitution, Conference on “The Malaysian Constitution After 30 years” (22-23 August 1987, University of Malaya, Kuala Lumpur)
[3] Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan lain-lain [2007] 4 MLJ 585, Kamariah bte Ali dan lain-lain v. Kerajaan Negeri Kelantan, Malaysia dan satu lagi [2002] 3 MLJ 657 dan Meor Atiqurrahman v Fatimah bte Sihi [2000] 5 MLJ 375.
[4] Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan lain-lain [2007] 4 MLJ 585
[5] Perkara 11 (3) berkenaan dengan hak bagi tiap-tiap kumpulan agama untuk menguruskan hal ehwal agamanya sendiri
[6] Perkara 11 (4) memperuntukkan mengenai kuasa untuk membuat undang-undang bagi mengawal dan menyekat apa-apa iktikad dan kepercayaan agama di kalangan orang yang beragama Islam.
[7] Perkara 11 (5) memperuntukkan bahawa hak kebebasan beragama tidak boleh berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.
[8] Andrew Harding, Law, Government and the Constitution in Malaysia, (Kluwer Law International: 1996), hlm. 201
[9] Perkara 12 (2) memperuntukkan bahawa pihak berkuasa Persekutuan dan Negeri boleh mengeluarkan perbelanjaan untuk menubuhkan atau menyelenggarakan institusi-institusi Islam.
[10] Seksyen 4 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.
[11] Seksyen 5 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.
[12] Seksyen 2 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.
[13] Seksyen 6 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.
[14] Seksyen 7 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.
[15] Seksyen 8 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.
[16] Seksyen 9 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.
[17] Seksyen 11 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.
[18] Seksyen 12 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.
[19] Seksyen 10 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.
[20] Kes PP lwn Krishnan a/l Muthu yang diputuskan di Mahkamah Majistret Temerloh, Pahang pada tahun 1989.
[21] Seksyen 11 (2) Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam (Perak) 1988
Seksyen 11 (2) Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam (Pahang) 1989
Seksyen 11 (2) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama- Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam) (Negeri Sembilan) 1991
Seksyen 11 (2) Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam (Johor) 1991


[22] Seksyen 12, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988
[23] Ibid
[24] Seksyen 13(1) , Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988
[25] Seksyen 13(2), Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988
[26] Seksyen 14(1), Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988
[27] Seksyen 15 Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam (Perak) 1988
[28] Termaktub dalam semua Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Negeri-Negeri.
[29] Seksyen 2 Kanun Acara Jenayah [Akta 593]
[30] Seperti di bawah Seksyen 103 Kanun Acara Jenayah, pihak polis boleh menggunakan apa-apa cara yang terbaik untuk menghalang kesalahan-kesalahan boleh tangkap. Ini termasuk kesalahan boleh tangkap di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.
[31] Seksyen 2 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.
[32] Kes PP lwn Krishnan a/l Muthu yang diputuskan di Mahkamah Majistret Temerloh, Pahang pada tahun 1989.

No comments: