Monday, May 11, 2009

ISU-ISU DALAM PENYELARASAN DAN PENYERAGAMAN FATWA

LATAR BELAKANG

Keputusan Muzakarah JFK mengenai isu senaman yoga pada akhir 2008 telah dipertikaikan oleh beberapa pihak. Di antaranya ialah D.Y.T.M. Raja Muda Perak yang mengikut laporan akhbar mengatakan bahawa keputusan Muzakarah tersebut hendaklah terlebih dahulu dirafakkan kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan sebelum keputusan tersebut boleh diumumkan kepada masyarakat.

D.Y.T.M. Raja Muda Perak juga berpendapat proses permulaan untuk menimbang, memutus dan mengeluarkan sesuatu fatwa hendaklah juga melalui proses yang sama iaitu diperkenankan terlebih dahulu oleh Majlis Raja-Raja selaras dengan peruntukan dalam Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

JAWATANKUASA FATWA KEBANGSAAN

Penubuhan JFK diperuntukkan di bawah Peraturan 11 (a) Peraturan MKI yang memperuntukkan tugas JFK ialah untuk menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa atas apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja di bawah Peraturan 14 Peraturan MKI.

Di bawah Peraturan 14 juga diperuntukkan bahawa JFK hendaklah mengemukakan pendapatnya kepada MKI yang akan menghantarkannya bersama dengan syor kepada Majlis Raja-Raja.

ISU-ISU YANG BERBANGKIT

Dalam perbandingan yang dibuat ke atas Enakmen Pentadbiran Agama Islam di negeri-negeri, Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah), Enakmen Fatwa (Sabah) dan Ordinan Majlis Islam (Sarawak) adalah didapati beberapa ketidakseragaman dan ketidakselarasan mengenai fatwa dan proses pembuatan fatwa.

JAWATANKUASA FATWA DI NEGERI-NEGERI

Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri memperuntukkan penubuhan Jawatankuasa Fatwa yang terlibat secara langsung dalam pembuatan fatwa di negeri-negeri. Diperhatikan bahawa nama Jawatankuasa ini adalah berbeza-beza di antara negeri-negeri.

Sebahagian besar negeri menggunakan nama Jawatankuasa Fatwa Negeri. Manakala terdapat negeri yang menggunakan nama yang berbeza iaitu Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak (Wilayah Persekutuan dan Pahang), Lembaga Fatwa (Sarawak), Jamaah Ulama’ (Kelantan), Majlis Fatwa Negeri (Sabah) dan Jawatankuasa Syariah (Perlis).


KEANGGOTAAN JAWATANKUASA FATWA NEGERI

Diperhatikan juga bahawa keanggotaan Jawatankuasa Fatwa adalah berbeza-beza di antara negeri-negeri kecuali Pengerusi Jawatankuasa iaitu S.S. Mufti Negeri berkenaan. Lain-lain anggota Jawatankuasa tersebut adalah berbeza mengikut kehendak negeri masing-masing.

PELANTIKAN MUFTI NEGERI


Perbandingan yang dibuat juga menunjukkan bahawa wujud perbezaan atau ketidakselarasan dalam proses pelantikan Mufti di negeri-negeri. Perbezaannya seperti berikut:

(i) terdapat negeri yang memperuntukkan kuasa melantik Mufti pada D.Y.M.M. Sultan/Raja negeri berkenaan (Pahang, Perlis, Perak, Kelantan dan Selangor);

(ii) terdapat negeri yang memperuntukkan kuasa melantik Mufti pada D.Y.M.M. Sultan/Raja atas nasihat Menteri Besar (Negeri Sembilan dan Terengganu);

(iii) terdapat negeri yang memperuntukkan kuasa melantik Mufti pada D.Y.M.M. Sultan/Raja atas nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Pulau Pinang);

(iv) terdapat negeri yang memperuntukkan kuasa melantik Mufti pada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Pihak Berkuasa Negeri selepas berunding dengan Majlis (Melaka);

(v) terdapat negeri yang memperuntukkan kuasa melantik Mufti pada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Menteri selepas berunding dengan Majlis (Wilayah Persekutuan);

(vi) terdapat negeri yang memperuntukkan kuasa melantik Mufti pada D.Y.M.M. Sultan/Raja atas nasihat Majlis (Johor);

(vii) terdapat negeri yang memperuntukkan kuasa melantik pada Yang di-Pertua Negeri atas syor Majlis dengan persetujuan Menteri (Sabah); dan

(viii) terdapat negeri yang memperuntukkan kuasa melantik pada Yang di-Pertuan Agong atas syor Yang di-Pertua Negeri (Sarawak).

KUASA JAWATANKUASA FATWA

Ketidakseragaman juga wujud mengenai kuasa Jawatankuasa Fatwa untuk menyediakan fatwa. Sebahagian besar negeri memperuntukkan Jawatankuasa Fatwa atas perintah D.Y.M.M. Sultan/Raja atau atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan mana-mana orang yang dibuat melalui surat kepada Mufti menyediakan suatu fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan ketidaktentuan berhubungan dengan hukum syarak.

Terdapat juga negeri yang memperuntukkan proses yang berbeza. Antaranya negeri Kelantan yang memperuntukkan mana-mana orang secara bertulis boleh meminta Majlis mengeluarkan fatwa tentang apa-apa masalah hukum syarak atau adat istiadat Melayu Kelantan dan apabila permintaan seumpama itu diterima, Setiausaha Majlis hendaklah segera mengedarkannya kepada Pengerusi Jemaah Ulama’. Pada masa yang sama Jemaah Ulama’ boleh atas daya usahanya sendiri membuat fatwa bagi pihak atau atas nama Majlis.

Proses di Negeri Perlis juga berbeza. Ianya memperuntukkan bahawa mana-mana orang atau mahkamah boleh memohon kepada Majlis untuk mengeluarkan fatwa mengenai apa-apa persoalan berhubungan dengan undang-undang Islam atau adat istiadat Melayu. Selanjutnya Majlis hendaklah merujuk persoalan itu kepada Jawatankuasa Syariah dan Jawatankuasa Syariah hendaklah memberikan pandangan kepada Majlis mengenai persoalan itu.

Manakala di Sarawak pula memperuntukkan Majlis boleh mengeluarkan suatu fatwa atas apa-apa perkara atau rukun undang-undang Islam atau apa-apa perkara mengenai amalan agama Islam atas daya usahanya sendiri atau sekiranya terdapat permintaan supaya dikeluarkan suatu fatwa oleh mana-mana orang. Selanjutnya Setiausaha Majlis akan mengemukakan permintaan tersebut kepada Lembaga Fatwa untuk ditimbangteliti dan Lembaga Fatwa hendaklah mengemukakan pendapat bertulisnya mengenai fatwa itu kepada Majlis.

TATACARA PEMBUATAN FATWA

Perbandingan yang dibuat juga menunjukkan ketidakseragaman dalam tatacara pembuatan fatwa di negeri-negeri. Persoalan timbul sama ada kuasa membuat fatwa adalah kuasa Mufti bersama dengan Jawatankuasa Fatwa Negeri atau kuasa Majlis Agama Islam Negeri sebelum sesuatu fatwa boleh diangkat untuk mendapat perkenan D.Y.M.M. Sultan/Raja negeri berkenaan sebelum diwartakan.

Peruntukan undang-undang di negeri-negeri adalah berbeza dan ini boleh menimbulkan persoalan mengenai tatacara yang sepatutnya dilaksanakan oleh negeri-negeri. Perbezaan yang berlaku adalah seperti berikut:

(a) terdapat negeri yang memperuntukkan Mufti boleh secara terus mengemukakan fatwa berkenaan kepada D.Y.M.M. Sultan/Raja atau Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan sebelum fatwa tersebut diwartakan (Kedah, Pahang dan Pulau Pinang); dan

(b) terdapat negeri yang memperuntukkan Mufti hendaklah terlebih dahulu mengemukakan fatwa tersebut kepada Majlis (Johor, Perlis, Sabah, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Wilayah Persekutuan, Kelantan, Sarawak dan Selangor);

Mengambilkira peruntukan undang-undang mengenai pengasingan bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri, S.S. Mufti dan Y.A.A. Ketua Hakim Syarie di bawah Enakmen/Akta/Ordinan Pentadbiran Agama Islam, adalah dirasakan rujukan kepada Majlis boleh menimbulkan persoalan sama ada tatacara sedemikian adalah teratur dan tidak boleh dianggap mencampuri/melampaui kuasa S.S. Mufti dan Jawatankuasa Fatwa negeri.

Peruntukan undang-undang menyatakan bahawa Majlis Agama Islam Negeri hendaklah membantu dan menasihati D.Y.M.M. Sultan/Raja berkenaan dengan semua perkara yang berhubungan dengan agama Islam kecuali perkara-perkara hukum syarak (kuasa Mufti) dan yang berhubungan dengan pentadbiran keadilan (kuasa Ketua Hakim Syarie).

FATWA YANG ADA HUBUNGAN DENGAN KEPENTINGAN NASIONAL

Perbezaan juga wujud dalam pengurusan fatwa yang ada hubungan dengan kepentingan nasional. Sebahagian besar negeri memperuntukkan bahawa apabila Jawatankuasa Fatwa Negeri mendapati suatu fatwa yang dicadangkan adalah berkaitan dengan kepentingan nasional, Jawatankuasa Fatwa Negeri hendaklah menangguhkan perbincangannya dan mengemukakan perkara tersebut kepada Majlis.

Seterusnya Majlis hendaklah membuat syor kepada D.Y.M.M. Sultan/Raja untuk mendapatkan perkenan Baginda agar fatwa yang dicadangkan itu dirujukkan kepada Majlis Raja-Raja melalui Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Apabila telah diperolehi perkenan Baginda, Majlis hendaklah sebelum fatwa yang dicadangkan itu dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, memaklumkan Kerajaan Negeri tentang rujukan itu.

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja adalah mengikat Kerajaan Negeri dan fatwa tersebut hendaklah disiarkan dalam Warta tanpa apa-apa pindaan atau ubahsuaian dan hendaklah dianggap sebagai suatu perbuatan atau amalan yang meliputi seluruh Persekutuan menurut Perkara 38 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun terdapat negeri-negeri yang masih belum mempunyai peruntukan mengenai rujukan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam perkara yang berhubungan dengan kepentingan nasional. Sebagai contoh, Wilayah Persekutuan yang masih menggunakan Undang-Undang lama iaitu Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505].

PENUBUHAN JAWATANKUASA FATWA KEBANGSAAN

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ialah sebuah Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Peraturan MKI dan telah mula bersidang sejak tahun 1970. Mengikut Peraturan 11 (a) (i), (ii), (iii) dan (iv) Peraturan MKI, Jawatankuasa ini adalah terdiri daripada ahli-ahli berikut:

(i) Pengerusi Jawatankuasa yang dilantik oleh Majlis dari antara ahli-ahlinya;

(ii) Mufti tiap-tiap negeri yang mengambil bahagian atau seorang yang mewakili negeri dalam hal ehwal agama;

(iii) Lima orang alim ulama yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja; dan

(iv) Seorang ahli yang beragama Islam dari perkhidmatan kehakiman dan undang-undang atau dari profesion undang-undang yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

Tugas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah diperuntukkan di bawah Peraturan 14 MKI yang memperuntukkan seperti berikut:

”Tugas Jawatankuasa Fatwa itu ialah menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa atas apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja. Jawatankuasa itu hendaklah mengemukakan pendapat-pendapatnya kepada Majlis yang akan menghantarkannya bersama dengan pengesyoran-pengesyorannya kepada Majlis Raja-Raja”.

Peraturan 16 MKI memperuntukkan pemeliharaan kuasa Sultan/Raja sebagai Ketua Agama Islam Negeri berkenaan. Peraturan ini memperuntukkan bahawa tiada apa-apa jua perbuatan Majlis boleh menyentuh kedudukan, hak, kelebihan, hak kedaulatan dan kuasa-kuasa yang ada pada Raja sebagai Ketua Agama Islam dalam negerinya dan sebagaimana yang ada diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia dan dalam Perlembagaan bagi negerinya.

Manakala Peraturan 17 MKI pula memperuntukkan bahawa Peraturan MKI ini tidak boleh dipinda melainkan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.

Di bawah Peraturan 14 MKI, tugas Jawatankuasa Fatwa ialah untuk menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa atas apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja. Di bawah Peraturan ini juga pandangan/pendapat Jawatankuasa Fatwa perlulah dikemukakan kepada MKI terlebih dahulu yang kemudiannya akan merafak pandangan dan syor Jawatankuasa Fatwa kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.

Di bawah Peraturan 14 MKI juga di mana keputusan Majlis Raja-Raja akan mengikat negeri-negeri, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hanya boleh diadakan apabila diarah oleh Majlis Raja-Raja. Sebagai contoh pada bulan November 2000 Majlis Raja-Raja melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah mengarahkan Setiausaha MKI supaya masalah perpecahan orang Melayu/Islam dirujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk dipertimbangkan dan dikeluarkan fatwa jika difikirkan sesuai dan bagi tujuan tersebut, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah membentangkan pendapatnya kepada Majlis Raja-Raja.

Memandangkan arahan yang diberi oleh Majlis Raja-Raja di bawah Peraturan 14 MKI kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah terlalu sedikit dan keadaan ini tidak membantu mengembangkan aspek kefatwaan negara/negeri, pada tahun 1981 keputusan telah dibuat untuk mengadakan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang mana keahliannya adalah sama seperti Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tetapi perjalanan Muzakarah tersebut tidak terikat dengan Peraturan 14 MKI (dirasakan Muzakarah tersebut tidak perlu mendapat arahan daripada Majlis Raja-Raja untuk bermesyuarat).

Cadangan pernah dibuat dalam Mesyuarat MKI pada tahun 1977 supaya Peraturan 14 MKI dibuat pindaan yang sewajarnya bagi membolehkan Jawatankuasa Fatwa bermesyuarat tanpa perlu menunggu arahan daripada Majlis Raja-Raja. Kertas cadangan pindaan ke atas Peraturan 14 MKI telah dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja pada tahun 1993 dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui surat bertarikh 8 Mac 1993 telah memaklumkan cadangan pindaan tersebut tidak diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

Namun begitu Muzakarah tersebut terus diadakan memandangkan ianya suatu forum untuk ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berbincang mengenai isu-isu agama yang timbul dalam masyarakat atau dibangkitkan oleh mana-mana pihak yang berkenaan yang memerlukan pandangan/pendapat segera Muzakarah. Dari segi undang-undang dan pada amalannya, Muzakarah tersebut hanyalah memberi pandangan/pendapat mengenai sesuatu isu dan bukan mengeluarkan fatwa di mana kuasa mengeluarkan fatwa masih terletak di bawah Jawatankuasa Fatwa negeri atau Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak negeri yang mengikut undang-undang perlu mengemukakan fatwa berkenaan kepada D.Y.M.M. Sultan/Raja negeri berkenaan selaku Ketua Agama Islam Negeri berkenan untuk diperkenankan oleh Baginda.

Perjalanan Muzakarah tersebut sama sekali tidak bertujuan untuk menyentuh atau menjejas kuasa D.Y.M.M. Sultan/Raja selaku Ketua Agama Islam Negeri berkenaan dalam urusan pengeluaran fatwa dan ini selaras dengan Peraturan 16 MKI yang memperuntukkan tiada apa-apa jua keputusan Majlis yang boleh menyentuh kedudukan, hak, kelebihan, kedaulatan dan kuasa yang ada pada D.Y.M.M. Sultan/Raja sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan Negeri berkenaan.

Pertikaian mengenai perjalanan atau operasi Muzakarah tersebut pernah berbangkit dalam tahun 1986 mengenai isu mati syahid (kes Ibrahim Libya) di mana D.Y.M.M. Sultan Kelantan melalui surat Setiausaha Sulit Baginda bertarikh 13 Februari 1986 telah mempersoalkan pengumuman akhbar yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada ketika itu, tanpa keputusan tersebut terlebih dahulu dirafakkan kepada Majlis Raja-Raja dan juga memohon penjelasan mengenai tugas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di bawah Peraturan MKI.

Jawapan Setiausaha MKI pada ketika itu kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sebagai menjawab pertanyaan oleh Setiausaha Sulit kepada D.Y.M.M. Sultan Kelantan telah diberi melalui surat bertarikh 17 Februari 1986 di mana dinyatakan seperti berikut:

(i) Peraturan 14 MKI mengenai tugas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak dipinda dan masih kekal seperti asal;

(ii) Perjumpaan Mufti-Mufti seluruh Malaysia dibahagikan kepada dua jenis iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa;

(iii) Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa ialah bagi membincangkan perkara-perkara yang dirujuk oleh Majlis Raja-Raja mengikut kehendak Peraturan 14 MKI;

(iv) Manakala Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ialah perjumpaan secara rutin setiap tiga bulan sekali oleh ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa bagi membincangkan isu-isu agama yang timbul dalam masyarakat; dan

(v) Pengumuman akhbar mengenai hal mati syahid yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa pada ketika itu adalah untuk menyatakan pandangan Muzakarah terhadap masalah berkenaan.

Peranan Muzakarah tersebut adalah sebagai membantu usaha-usaha penyelidikan dan penyelarasan kefatwaan negara/negeri dan ini selaras dengan tugas-tugas yang diperuntukkan kepada MKI sendiri di bawah Peraturan 7 (a) dan (b) Peraturan MKI yang memperuntukkan seperti berikut:

(a) Membincang, menimbang dan menguruskan apa-apa perkara yang dirujukkan oleh Majlis Raja-Raja, mana-mana Kerajaan Negeri, Majlis Agama Islam Negeri atau seseorang Ahli MKI dengan tujuan hendak memberi nasihat atau pengesyoran; dan

(b) Memberi nasihat kepada Majlis Raja-Raja, Kerajaan Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri atas apa-apa perkara berkenaan dengan perundangan atau pentadbiran agama Islam dan pelajaran agama Islam dengan tujuan hendak memperbaiki, menyamakan atau mengalakkan persamaan undang-undang atau pentadbiran agama Islam.

Isu mengenai kedudukan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan melalui surat bertarikh 4 Mac 2009 Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara telah memberi pandangan mengenai 2 isu berikut:

(i) adakah fungsi Muzakarah JFK sama dengan JFK iaitu untuk mengeluarkan fatwa di bawah Peraturan 14 MKI; dan

(ii) adakah pandangan/keputusan Muzakarah JFK perlu dirafakkan kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan sebelum pandangan/keputusan tersebut diumumkan kepada masyarakat.

Jabatan Peguam Negara memberi pendapat seperti berikut:

(i) fungsi JFK dan Muzakarah JFK adalah berbeza di mana fungsi JFK adalah khusus untuk menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa mengenai sesuatu perkara berkenaan dengan Agama Islam yang dirujuk oleh Majlis Raja-Raja di bawah Peraturan 14 Peraturan MKI;

(ii) sebaliknya Muzakarah JFK bukan suatu forum rasmi yang diberikan kuasa dari segi undang-undang untuk mengeluarkan fatwa seperti JFK atau Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri. Muzakarah JFK hanyalah merupakan mesyuarat atau perbincangan yang diadakan secara pentadbiran di kalangan anggota JFK bagi membincangkan dan memberikan pendapatnya mengenai apa-apa perkara yang berkaitan dengan persoalan hukum syarak yang dibangkitkan oleh mufti negeri-negeri atau anggota JFK yang lain;

(iii) walaupun nama Muzakarah JFK hanya mula digunakan secara rasmi pada 28 Januari 1991 namun berdasarkan beberapa minit mesyuarat MKI yang diadakan sebelum itu, didapati bahawa adalah menjadi amalan mufti-mufti untuk mengadakan forum yang sama sifatnya bagi membincangkan dan memberikan pendapatnya mengenai sesuatu persoalan yang berbangkit mengenai hukum syarak menerusi mesyuarat atau pembentangan sesuatu kertas kerja;

(iv) dalam konteks JFK, apa-apa pandangan yang diberikan oleh JFK hanyalah bersifat pendapat semata-mata dan bukannya fatwa. Ini adalah kerana MKI menetapkan bahawa bagi membolehkan sesuatu pandangan itu dikeluarkan sebagai fatwa ia hendaklah dirafakkan kepada Majlis Raja-Raja. Justeru selagi mana pandangan tersebut belum dirafakkan kepada Majlis Raja-Raja maka kedudukan dan sifatnya adalah sama dengan pandangan Muzakarah JFK iaitu hanyalah bersifat pendapat semata-mata dan bukannya suatu fatwa yang mengikat mana-mana pihak;

(v) walaupun pandangan yang dibuat oleh Muzakarah JFK hanyalah bersifat pendapat semata-mata dan bukannya fatwa sebagaimana yang dimaksudkan di bawah Peraturan 14 Peraturan MKI, namun Muzakarah JFK perlulah lebih berhati-hati dalam membuat pengumuman kepada orang ramai mengenai sesuatu pandangan atau pendapatnya kerana dikhuatiri boleh mengundang kontroversi dan mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat; dan

(vi) tambahan pula ramai di kalangan masyarakat yang tidak mengetahui mengenai latar belakang dan kedudukan Muzakarah JFK akan menganggap pandangan atau pendapat yang dikeluarkan oleh Muzakarah JFK itu merupakan suatu fatwa. Justeru itu adalah lebih baik sekiranya pandangan/keputusan Muzakarah JFK dirafakkan kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu untuk diperkenankan sebelum diumumkan kepada masyarakat.

Adalah tidak dapat dinafikan bahawa peranan dan sumbangan Muzakarah JFK ke arah pengembangan dan pembangunan aspek kefatwaan negara/negeri dan kemajuan dan pembangunan umat Islam secara keseluruhannya adalah sangat penting dan sejak Muzakarah tersebut dimulakan pada tahun 1981, lebih daripada 430 kertas kerja/penyelidikan telah dibincangkan dalam Muzakarah tersebut sehingga kini yang meliputi pelbagai aspek mengenai hal ehwal agama Islam dan hukum syarak.

KESIMPULAN

Tidak dapat dinafikan wujudnya ketidakseragaman dalam pengurusan fatwa dan pembuatan fatwa di negeri-negeri. Ketidakseragaman tersebut boleh menjejaskan pelaksanaan pengurusan fatwa yang sepatutnya di negeri-negeri dan tindakan pembetulan bagi menyeragamkan peruntukan undang-undang yang berkaitan perlulah dilaksanakan segera oleh pihak berkuasa.

Justeru masanya telah tiba dan dicadangkan supaya diseragamkan peruntukan undang-undang mengenai Mufti dan Fatwa serta diwujudkan peraturan/kaedah mengenai proses pembuatan fatwa, pewartaan fatwa, fatwa yang berkaitan dengan kepentingan nasional dan semua perkara yang berkaitan mengenainya.

PENUTUP

Kertas ini dibentangkan untuk perhatian dan perbincangan ahli-ahli Persidangan dengan harapan beroleh cadangan penyelesaian dan penambahbaikan bagi mengatasi masalah ketidakseragaman dalam pengurusan fatwa di negeri-negeri.

No comments: