Baca dan nilai sendiri la kawan-kawan kenyataan yang dibuat oleh menteri kita! betul ke tak?
KUALA LUMPUR 21 Okt. - Sektor perhotelan digalak memohon sijil halal yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dalam usaha menarik lebih ramai pelancong khususnya dari Asia Barat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehubungan itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) telah membuat koordinasi bagi menentukan hotel mendapat sijil halal.
Aspek yang diambilkira dalam pemberian sijil itu katanya, adalah makanan, penyediaan makanan dan perkhidmatan hospitaliti yang lain.
''Lebih banyak hotel yang memohon sijil halal itu, ia akan membawa imej baik yang menarik minat pelancong khususnya dari Asia Barat.
''Kita melihat ada perubahan paradigma yang melihat produk halal bukan sahaja popular di kalangan penduduk beragama Islam tetapi juga pelancong luar," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen.
Ahmad Zahid berkata, pemberian sijil halal kepada hotel-hotel tidak dibuat berdasarkan taraf bintang hotel berkenaan tetapi bergantung pada hasil pemantauan yang dilakukan secara teliti oleh pegawai-pegawai Jakim dan HDC.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengeluaran sijil halal semakin mendapat sambutan dan mencatatkan peningkatan 30 peratus sejak proses pensijilan itu diambil alih oleh HDC.
Katanya, dalam tempoh Jun hingga pertengahan Oktober lalu, sebanyak 525 sijil halal dikeluarkan kepada pengeluar produk halal di Malaysia dan 10 sijil kepada syarikat antarabangsa.
Beliau berkata, selain menyerapkan pegawai-pegawai Unit Halal Jakim, HDC turut menggunakan sepenuhnya makmal di Cyberjaya bagi mengaplikasi kaedah saintifik dalam proses menentukan status halal produk sebelum sijil dikeluarkan.
